Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Anugerah Desa Sejahtera, Anugerah SejaTi MADANI Perak 2024 Angkat Usaha JPKK, JPKKOA

By 26 Mei 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/SUK Perak

IPOH, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 230 orang yang terdiri daripada barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta JPKK Orang Asli hadir di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi Program Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah SejaTi MADANI negeri Perak 2024, di sini kelmarin.

Anugerah Khas Kemajuan Sosial dan Ekonomi telah mengangkat Kampung Jaya Setia dari Daerah Kuala Kangsar atas dasar usaha komuniti yang mempunyai prestasi pulangan yang tinggi kepada komuniti dengan menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM5,000 beserta piala iringan serta turut dinobatkan sebagai Johan Anugerah SejaTi MADANI dengan membawa pulang siling peruntukan Projek Infra berjumlah RM100,000 serta piala iringan.

Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian Anugerah Desa Sejahtera & Anugerah SejaTi MADANI Negeri Perak 2024, kelmarin.

Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, program ini julung kali diadakan dengan mengabungkan dua pertandingan utama anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak dan Pejabat Pembangunan Negeri Perak.

“Kita percaya bahawa kejayaan sebuah kampung tidak hanya diukur dengan pembangunan kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya melalui kekuatan semangat kebersamaan, daya tahan menghadapi cabaran dan iltizam masyarakatnya untuk bangkit memajukan kampung masing-masing.

“Nilai dan semangat inilah yang seharusnya menjadi teras kepada kepimpinan JPKK. Semua JPKK seharusnya cakna dengan hala tuju dan pendekatan pembangunan inklusif yang digariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya ketika berucap bagi merasmikan program tersebut.

Anugerah Desa Sejahtera Negeri Perak telah mengangkat Kampung Telaga Nenas yang mewakili daerah Manjung sebagai Johan dengan membawa pulang RM10,000 dan piala iringan.

Suasana di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Manakala, Naib Johan dimenangi oleh Kampung Sungai Protan dari daerah Kerian telah menerima RM8,000 dan piala iringan serta diikuti Kampung Ulu Kuang yang mewakili daerah Kinta selaku tempat ketiga, menerima RM6,000 beserta piala iringan.

Seterusnya, tempat ketiga bagi Anugerah SejaTi MADANI Negeri Perak 2024 dimenangi oleh Kampung Telaga Nenas dari daerah Manjung dengan hadiah kemenangan berupa siling peruntukan Projek Infra berjumlah RM50,000 dan piala iringan.

Sementara Kampung Sempeneh yang mewakili daerah Larut, Matang dan Selama telah dinobatkan sebagai tempat kedua bagi Augerah SejaTi MADANI Negeri Perak 2024 dan penerima Anugerah Khas Pengurusan Efisien dengan membawa pulang Siling Peruntukan Projek Infra berjumlah RM 70,000 serta hadiah kemenangan RM5,000, masing-masing beserta piala iringan.

Turut menerima Anugerah Khas Sinergi SejaTi MADANI adalah Pejabat Daerah dan Tanah Kerian dengan memperoleh Siling Peruntukan Projek Infra berjumlah RM50,000 serta piala iringan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda