
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Ranhill SAJ (Johor)
JOHOR BAHRU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Bekalan air ke beberapa kawasan di daerah ini mula pulih secara berperingkat-peringkat ekoran paip air mentah yang bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor, Selasa lalu.
Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah kawasan, melibatkan lebih 150,000 akaun pengguna di sebahagian kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Setakat pukul 4.00 petang semalam, sebanyak 34,000 akaun masih terjejas, dengan peratusan pemulihan bekalan pada tahap 78 peratus.
Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ Khairul Effendy Tusam, berkata beberapa kawasan mungkin masih mengalami gangguan bekalan disebabkan faktor jarak lokasi yang jauh dari loji serta jajaran sistem paip yang kompleks, sekali gus menyukarkan pemulihan tekanan air secara menyeluruh.
“Bekalan air alternatif ke kawasan-kawasan kritikal masih diteruskan.
“Malah, kita turut mengedarkan lebih 12,000 karton air mineral ke kawasan tumpuan seperti rumah-rumah ibadat dan pangsapuri sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan operator air Johor itu, semalam.
Khairul, berkata setakat pukul 4.00 petang semalam, sebanyak 34,000 akaun masih terjejas, dengan peratusan pemulihan bekalan pada tahap 78 peratus.

Insiden paip air mentah yang bocor di Loji Rawatan Air Sungai Johor, Selasa lalu, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan lebih 150,000 akaun pengguna di daerah Johor Bahru.
“Ranhill SAJ turut mengaktifkan pelan kontingensi dengan menyalurkan bantuan bekalan air menerusi penghantaran 42 buah lori tangki air ke kawasan yang terjejas bagi menampung keperluan pengguna yang terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul menjelaskan sebanyak 61 tangki statik dan mudah alih turut diletakkan di lokasi strategik bagi kemudahan pengguna mendapatkan bekalan air.
“Gangguan bekalan air bersih berlaku akibat kerosakan luar jangka pada pam utama yang memproses air bersih untuk disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor dekat Kota Tinggi,” jelasnya.
Gangguan tersebut mengakibatkan agihan kira-kira 318 juta liter air sehari (MLD) terhenti dan tidak dapat disalurkan kepada pengguna di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
-ZS-