
Laporan/foto: Syed Mohd Adib/Majlis Belia Daerah Muar (Muar)
MUAR, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Belia di daerah ini disaran untuk menyahut hasrat Kerajaan MADANI bagi melahirkan generasi cemerlang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata sambutan Hari Belia Negara dalam konteks Malaysia MADANI mencerminkan keazaman melahirkan belia yang cemerlang, berakhlak mulia, berdaya tahan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Ir. Ts. Mohamad Fazli menyempurnakan penyerahan Anugerah Belia Daerah Muar.
“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada aspek kebolehpasaran ekonomi dan keusahawanan, sosial, pendidikan, agama serta akhlak dalam memperkasakan generasi muda.
“Pendekatan ini bertujuan melahirkan belia yang bukan sahaja memiliki kemahiran profesional tinggi, tetapi juga asas moral dan etika yang kukuh,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Muar Tahun 2025 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, di sini semalam.
Seramai 500 peserta termasuk pelajar, guru dan kakitangan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh menyertai program tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor Shamsuhaime Basir, berkata program ini merupakan platform terbaik untuk menyemarakkan sambutan Hari Belia Negara di peringkat akar umbi sejajar dengan hasrat kerajaan memperluas penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat.

Golongan belia yang hadir pada Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Muar tidak terlepas untuk mendapatkan maklumat di kaunter pameran agensi kerajaan.
“Lima segmen utama disusun dalam program ini iaitu Port Makan-Makan, Port Seni, Port Fit Malaysia, Port FYP dan Port Jana Duit.
“Ia bukan sahaja meraikan semangat belia, malah membuka ruang untuk mereka meneroka potensi, membina jaringan dan mempersiapkan diri ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Antara aktiviti menarik sepanjang program termasuk kendera saji, gerai jualan, liga penalti bola sepak, pameran agensi, persembahan artis jemputan, ceramah banteras jenayah serta demonstrasi keselamatan dan pencegahan kebakaran.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Muar Raja Khoirul Amirrullah Raja Leman dan Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Muar Mohammad Hafiz Tumin.
-ZS-