Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Belia Penggerak Pembangunan Ekonomi Negara

By 35 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Golongan belia merupakan tonggak masa hadapan negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serta kemakmuran jangka panjang sesebuah negara.

Sumbangan belia sebagai penggerak pembangunan ekonomi tidak boleh disangkal lagi kerana belia adalah tenaga kerja utama melalui kemahiran dan daya inovasi yang tinggi, belia juga mampu mendorong pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam keusahawanan, teknologi dan industri kreatif.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air, Yang Berhormat Tuan Akmal Nasrullah Mohd Nasir melawat reruai pameran sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis 2025

Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis 2025 telah diadakan di Dataran Boulevard Kampus Uniciti Alam, Padang Besar, kelmarin.

Menurut Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika berucap, belia pada hari ini perlu dipersiapkan segera dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mereka menjadi pemimpin tersohor di masa hadapan.

“Mulai tahun hadapan, peraturan kepimpinan belia bawah tiga puluh tahun akan dikuatkuasakan seperti mana yang termaktub dalam Akta 668 dan persatuan belia seharusnya telah bersedia dengan pelan transisi kepimpinan mereka bagi meneruskan kesinambungan pergerakan belia,” ujarnya.

Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei setiap tahun berperanan  bagi menghargai sumbangan belia dalam bersama membangunkan negara.

Antara pengisian aktiviti di Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis 2025

Sambutan Hari Belia Negara 2025 disambut di seluruh negara dengan tema Yakin Boleh bersesuaian dengan semangat belia masa kini yang perlu yakin pada diri sendiri dalam menghadapi dan mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Tambah Akmal lagi, dengan terlaksananya transisi kepimpinan belia ini diharap negara dapat melahirkan pemimpin dengan lebih cepat di usia yang lebih muda,

Pada usia 15 hingga 30 tahun, para belia dapat diberikan peluang dan pendedahan untuk memimpin sebuah organisasi sosial.

Cabaran dan mindset belia kurang berpengalaman serta kurang matang harus dikikis dan seharusnya dijadikan sebagai batu loncatan serta platform terbaik untuk belia menjadi seorang pemimpin yang berkaliber.

Mengikut statistik yang telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) menyatakan jumlah populasi belia di negara ni pada tahun 2024 ialah seramai hampir 9.5 juta orang berdasarkan takrifan umur belia di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668), iaitu 15 hingga 30 tahun.

Manakala populasi belia di Negeri Perlis adalah seramai lebih kurang 96,400 orang.

Dengan jumlah populasi belia yang ramai ini, iaitu hampir 1/3 daripada jumlah penduduk negara ianya mampu menggambarkan bahawa belia merupakan aset berharga kepada negara.

-AA-

Tinggalkan komen anda