
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Perbadanan Labuan
LABUAN, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Belia perlu menekankan prinsip yakin boleh dalam setiap perkara terutamanya memberi sumbangan melalui idea, tenaga dan masa bagi membangunkan potensi diri serta negara.

Mohd Sukuran (tengah) bersama para pemenang Anugerah Perdana Belia Negara bagi kategori individu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib, para belia diseru memanfaatkan sepenuhnya peluang dan inisiatif yang telah disediakan.
“Jadikan kekuatan dan kelebihan yang ada di labuan ini sebagai pemangkin untuk lebih menyerlah di peringkat yang lebih tinggi.
“Platform antarabangsa kini semakin terbuka luas untuk disertai seperti pertukaran belia, persidangan antarabangsa dan pertandingan inovasi global bukan sahaja membuka peluang untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran, malah turut mengangkat imej belia labuan di peringkat global,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025, di sini petang semalam.
Jelasnya, kerajaan juga mempunyai tahap keyakinan yang tinggi kepada golongan belia dengan melaksanakan transisi umur belia melalui penguatkuasaan penurunan had umur belia di bawah 30 tahun bermula Januari 2026 sejajar dengan Dasar Belia Malaysia (DBM).

Kelab Belia Kampung Bebuloh (BAMBU) diumumkan sebagai johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025 peringkat Labuan bagi kategori pertubuhan belia.
“Perkara ini adalah satu tindakan untuk memperkasa golongan belia agar bersesuaian dengan perubahan dan perkembangan semasa di arena antarabangsa selain mempercepat kematangan belia dalam institusi sosial sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin muda sebagai kesinambungan kepimpinan negara pada masa depan,” katanya.
Pada majlis itu Mohd Sukuran turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara bagi kategori pertubuhan belia dan individu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara Dr. Vellapandian Ponnusamy, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mahanum Fauzi dan Presiden Majlis Belia Labuan Nazera Roslan.
-ZS-