
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 3 Mei (MalaysiaAktif) – Hospital Kuala Lumpur (HKL) melalui Unit Kolorektal dan Pasukan Perawatan Stoma dengan jayanya menganjurkan kempen kesedaran Kanser Kolorektal 2025 yang bertemakan Kanser Kolorektal – Ancaman Senyap Dari Dalam.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Harikrishnan K.Ragavan Nair ketika program Fun Run Kempen Kesedaran Kanser Kolektoral
Kempen yang berlangsung sejak 28 April lalu kini tiba kemuncaknya hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan di Astaka Taman Tasik Titiwangsa.
Inisiatif murni ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya kanser kolorektal yang kini menjadi kanser kedua tertinggi di Malaysia.
Kempen ini juga menekankan pentingnya pengesanan awal dan amalan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan utama.
Menurut Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Harikrishnan K.Ragavan Nair, berkata bahawa insiden kanser kolektorel itu telah bertambah daripada kalangan wanita dan juga lelaki.

Temubual bersama Pengarah Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Harikrishnan K.Ragavan Nair
“Oleh sebab itu, kita perlu buat saringan awal, supaya kita dapat mengenal penyakit itu secepat mungkin dan rawatan yang segera dapat diberikan,” ujarnya.
Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Malaysia (MNCRR) 2012-2016, satu daripada sembilan lelaki dan satu daripada 11 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser kolorektal sepanjang hayat mereka.
Golongan yang paling berisiko termasuk individu berusia 50 tahun ke atas, golongan yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal, pesakit penyakit radang usus kronik serta individu yang mengamalkan diet tinggi lemak dan rendah serat dan kurang aktif serta mempunyai tabiat merokok dan pengambilan alkohol yang tinggi.
-AA-