
Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad
BESUT, 29 Mei (MalaysiaAktif) – Minat sejak zaman remaja membawa Mat Didek Daud, 58, meneroka dunia ternakan belut hingga kini berjaya menghasilkan ratusan ekor belut di kawasan tepi rumahnya.

Belut ternakan Mat Didek menerima permintaan tinggi daripada restoran, khususnya bagi hidangan seperti tom yam dan sup belut.
Bermula hanya dengan pengetahuan asas dan semangat ingin mencuba, beliau kini mengusahakan ternakan belut secara moden dan lestari walaupun berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam proses pembiakan.
“Belut ni kalau tak diasingkan, dia makan benih sendiri. Itu yang susah sikit.
“Sekarang saya guna benih dari Indonesia dan Vietnam sebab lebih stabil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Besut, kelmarin.
Menurut Mat Didek, setiap kolam ternakan turut diletakkan ikan puyu sebagai langkah kawalan biologi bagi mengelakkan pembiakan nyamuk, menjadikan kaedah ini lebih mesra alam.
Permintaan terhadap belut ternakannya sangat tinggi, khususnya daripada restoran yang menjadikan belut sebagai hidangan utama seperti tomyam dan sup belut.

Sebahagian daripada ratusan ekor belut yang diternak di kolam buatan Mat Didek Daud di kawasan rumahnya.
“Ada restoran datang terus ke rumah ambil belut hidup. Sekali ambil boleh sampai lebih 10 kilogram,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa ternakan belut memerlukan penjagaan rapi kerana spesies itu sangat sensitif terhadap kualiti air dan mudah mati jika tidak dijaga dengan betul.
“Kalau air kotor, memang habis. Kena tahu cara kendali air dan kebersihan kolam,”katanya.
Mat Didek berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang ternakan moden yang semakin mendapat tempat dalam industri pertanian negara.
-ZS-