Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Drone Junior MADANI 2025 Cetus Semangat Belia Teknologi

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azza Azmi/Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan Drone Junior sempena Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Johor yang lalu membuka ruang kepada generasi muda meneroka teknologi masa hadapan, dengan penyertaan menggalakkan daripada pelbagai peringkat usia.

Zuraidy berharap pertandingan Drone Junior dapat membuka ruang kepada generasi muda meneroka teknologi masa hadapan.

Ketua Unit Automotive Dan Drone CIAST Shah Alam Zuraidy Shamsudin, berkata program anjuran Majlis TVET Negara (MTVET) ini dilaksanakan bagi memperkenal serta mendekatkan teknologi dron kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Johor Bahru.

“Latihan telah dibuka kepada orang awam pada 23 Mei, dengan peserta diajar mengendalikan dron menggunakan telefon pintar mereka sendiri.

“Penyertaan pelajar sekolah rendah sangat menggalakkan, malah ada yang membawa dron sendiri. Ini menunjukkan minat dan potensi besar dalam kalangan peserta muda,” katanya ketika ditemui pada peringkat akhir Pertandingan Drone Junior di Toppen Shopping Centre Johor Bahru, kelmarin.

Muhammad, berkata program seumpama ini menambah minatnya dalam bidang teknologi.

Tambah Zuraidy, sesi saringan telah berlangsung pada 24 Mei disertai seramai 82 peserta, manakala 27 peserta terbaik daripada semua kategori melangkah ke peringkat akhir yang diadakan pada 25 Mei, merangkumi kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka.

Juara Drone Junior Kategori Sekolah Rendah Muhammad Abdul Shamsul, 12 tahun, berkata program seumpama ini menambah minatnya dalam bidang teknologi.

“Saya mula main dron sejak kecil, beli guna duit raya. Lepas cikgu masukkan nama, saya terus sertai. Lepas ini hendak masuk pertandingan lain pula,” katanya.

Pertandingan menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang sebagai insentif serta galakan untuk terus maju dalam bidang berasaskan teknologi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda