
Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid/Sazli Abu Hasan (Sik)
SIK, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan e-sukan Mobile Legend menjadi antara daya penarik penyertaan golongan belia dalam Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Sik tahun 2025 yang diadakan di Perkarangan Sik Inn, pagi kelmarin.

Senamrobik turut diadakan di Dataran Sik Inn.
Program anjuran bersama Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Sik dan Pejabat Daerah Sik disertai pelajar-pelajar dari beberapa sekolah dibawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Sik, Kolej KEDA, Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Komuniti Sik.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Sik Mohd Akmal Azimi ketika merasmikan program memuji Pejabat Belia dan Sukan yang berjaya menganjurkan pelbagai kelas acara seperti Port Seni, Port Healing, Port Gaming, Port Fit Malaysia dan Port Jana Duit dalam program tersebut.
“Program Semarak Hari Belia Negara Daerah Sik yang diadakan pada pagi ini memberi makna yang besar untuk golongan belia di daerah ini dan seluruh negara.

Fun walk yang turut diadakan pada sebelah pagi.
“Tahun 2026 had umur golongan belia akan diturunkan kepada 30 tahun berbanding 40 tahun ketika ini memberi makna jelas golongan ini akan lebih aktif dan mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang sebagai aset negara,” katanya.
Menurutnya lagi, melalui tema Hari Belia Negara Tahun 2025 iaitu ‘Yakin Boleh’ golongan belia diharap lebih berkeyakinan dalam melaksanakan sesuatu perkara yang bermanfaat.
Program turut diceriakan dengan pertandingan batu selambut, Program Jualan Rahmah dan cabutan nombor bertuah yang turut dihadiri ketua-ketua jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan di daerah Sik.
-ZS-