
Laporan/Foto: Eleannor Bedai Tinggom / Nicholas Anak Jenaka (Sarawak)
KANOWIT, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai dan Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kanowit dengan kerjasama Komuniti MADANI Rantau Kemiding di Perkarangan Pejabat Penerangan Kanowit telah berjaya dilaksanakan, semalam.

Tuai Rumah Joseph James, Ketua Komuniti MADANI Rantau Kemiding, menyampaikan ceramah keselamatan dalam talian.
Program ini telah menghimpunkan sejumlah enam buah Komuniti MADANI di Daerah Kanowit dengan kehadiran seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli Komuniti MADANI Rantau Kemiding, Komuniti MADANI Bungai Jarau, Komuniti MADANI Kampung Hilir, Komuniti MADANI Bukit Sepali, Komuniti MADANI Setutung Jaya dan Komuniti MADANI Teluk Lelayang.
Ketua Cawangan Perhubungan dan Pembangunan Masyarakat, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sarawak, Robin Junang telah menyampaikan taklimat kepada ahli-ahli Komuniti MADANI yang hadir tentang teknik asas pengucapan awam dengan mengamalkan prinsip 5W1H.
“”Peranan Komuniti MADANI sangat penting dalam membantu kerajaan menyampaikan dasar dan inisiatifnya kepada masyarakat. Ahli-ahli komuniti ini datang dari pelbagai latar belakang, termasuk bekas penjawat awam, yang memiliki pengalaman dan keyakinan untuk menjadi jurucakap berkesan,” ujar Robin.

Sebahagian daripada peserta program JIWA@Komuniti MADANI yang hadir mewakili enam komuniti dari Daerah Kanowit.
Selain sesi sembang santai, program turut diserikan dengan ceramah bertajuk “Langkah-langkah Keselamatan Dalam Talian” yang disampaikan oleh Tuai Rumah Joseph James, merangkap Ketua Komuniti MADANI Rantau Kemiding.
Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama komuniti, malah memperkasakan mereka dengan pengetahuan serta kemahiran untuk menjadi agen penyampai maklumat yang efektif di peringkat akar umbi.
-RJ-