Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Forum Ehwal Islam Kupas Falsafah Ibadah Korban dan Penghayatan dalam Kehidupan

By 17 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof

KUALA KRAI, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Masjid Al-Solihin, di sini kelmarin menjadi medan perkongsian ilmu apabila Forum Ehwal Islam bertajuk ‘Falsafah Ibadah Korban dan Penghayatan dalam Kehidupan’ berlangsung dengan jayanya menghimpunkan penduduk setempat yang hadir untuk mendalami makna sebenar ibadah korban menjelang Aidiladha.

Program yang berlangsung dalam suasana tertib dan penuh penghayatan itu menampilkan dua ahli panel tersohor, Ustaz Mohd Azil dan Ustaz Dr. Mohd Azhar.

Azhar bergambar bersama ahli keluarga.

Menurut Ustaz Mohd Azil, kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS bukan sekadar naratif sejarah, tetapi satu simbol ketaatan mutlak yang wajar dijadikan pedoman dalam kehidupan harian umat Islam.

“Ibadah korban mengajar kita tentang penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

“Ia bukan ritual semata-mata, tetapi pelajaran tentang ketaatan, keikhlasan dan kepercayaan,” jelasnya.

Ustaz Dr. Mohd Azhar pula menekankan bahawa konsep korban harus diperluaskan maknanya bukan hanya melibatkan binatang sembelihan, tetapi juga pengorbanan masa, tenaga dan harta demi manfaat masyarakat serta kekuatan ukhuwah Islamiah.

“Falsafah korban mengajak kita mengutamakan kepentingan bersama, meletakkan nilai sosial dan kebersamaan melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Forum ini turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif yang membuka ruang kepada peserta meluahkan pandangan serta mengajukan soalan, menambahkan lagi nilai ilmu yang dikongsikan.

Jemaah memenuhi dewan solat masjid.

Kehadiran penduduk setempat yang pelbagai latar usia menyerlahkan minat dan kesedaran terhadap nilai-nilai Islam yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Forum seperti ini sangat memberi kesedaran. Selama ini kita buat korban setiap tahun, tapi tak ramai yang benar-benar faham makna di sebaliknya.

“Saya rasa lebih insaf dan bermotivasi,” ujar Azhar, 45, salah seorang peserta.

Peserta Mohamad, 60, pula menyifatkan forum ini sebagai titik perubahan dalam cara beliau menilai erti pengorbanan.

“Ia bukan hanya sembelih lembu, tapi korban ego, korban kepentingan diri. Forum ini membuka mata saya,” katanya.

Penganjuran forum sebegini jelas memberi impak positif, bukan sahaja dalam meningkatkan pemahaman tentang ibadah korban, malah turut menyemarakkan nilai pendidikan rohani dan sosial dalam kalangan komuniti.

-ZS-

Tinggalkan komen anda