
Laporan/Foto: Rosnaniwati Rasidi (Kota Belud)
KOTA BELUD, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Muzik gambus yang sinonim dengan budaya masyarakat Sabah terus diperkasa sebagai medium dakwah dalam menyampaikan mesej keagamaan secara halus dan berkesan melalui kesenian Islam.
Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, pendekatan dakwah menerusi seni seperti muzik gambus merupakan satu usaha progresif dalam membentuk jati diri dan mendidik jiwa masyarakat Islam masa kini.

Isnaraissah (kiri) menyempurnakan simbolik perasmian dengan gesekan biola, diiringi oleh Lamsil Hamidshor (kanan, berbaju putih) kelmarin.
“Program seperti ini bukan sekadar hiburan. Ia adalah ruang untuk kita mendidik hati dan membentuk jati diri sebagai seorang Muslim. Jiwa kita perlu sentiasa diisi, dan isi itu ialah agama,” katanya semasa merasmikan Malam Semarak Kesenian Islam di Pentas Tamu Kota Belud, Sabtu lalu.
Sementara itu, Pengerusi Dewan Masjid Kota Belud (DMKB), Lamsil Hamidshor menegaskan bahawa muzik gambus telah lama menjadi sebahagian daripada pendekatan dakwah di Sabah, bukan hanya sekadar hiburan semata-mata.
“Muzik gambus bertujuan untuk berdakwah dan memupuk kecintaan terhadap seni Islam. Ia mampu mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai tauhid dan ajaran Islam melalui pendekatan yang halus namun amat menyentuh jiwa,” katanya.

Adik Mohammad Khayruddin Zakwan Jaimis, Johan Hafazan Kebangsaan Juz 1–10, memperdengarkan bacaan Al-Quran yang merdu dan menyentuh hati.
Program anjuran DMKB dengan kerjasama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Badan Dakwah Daerah, serta Pejabat Perhubungan Parlimen Kota Belud ini turut menampilkan pelbagai elemen kesenian Islam seperti persembahan gambus, nasyid dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Majlis turut diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh Johan Hafazan Kebangsaan Juz 1–10, adik Mohammad Khayruddin Zakwan Jaimis, selain persembahan istimewa daripada Orkes Gambus Noor El-Sabah dan kumpulan nasyid tempatan, Malaeka Kota Belud yang dipimpin oleh Datuk Jalidar Abd. Rahim.
-RJ-