
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Ranhill SAJ (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Gangguan bekalan air yang melibatkan daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri akibat kejadian paip air mentah bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor telah pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ Khairul Effendy Tusam, berkata beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh yang sukar itu.
“Kebocoran yang berlaku di LRA itu merupakan suatu kejadian luar jangka yang jarang berlaku dan pasukannya menghadapi kesukaran sepanjang proses baik pulih dijalankan sejak Selasa lalu.
“Kami akur dengan kesulitan yang dihadapi para pelanggan akibat kejadian ini. Sejak ia berlaku, segala usaha dilakukan untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan secepat mungkin kepada semua yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini semalam.
Menurut Khairul, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Siasatan ini dilakukan dengan meneliti setiap aspek teknikal serta penjagaan berkala semua peralatan dalam sistem pemprosesan dan jajaran paip air di loji terbabit.
“Setiap data yang dikumpulkan itu akan diteliti bagi membolehkan prosedur sedia ada dikemas kini untuk mengelakkan insiden yang sama berulang pada masa hadapan,” katanya.
Selasa lalu kerosakan luar jangka pada pam utama LRA yang memproses air mentah Sungai Johor telah mengakibatkan agihan lebih 318 juta liter air terawat sehari bagi kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri terputus.
-ZS-