
Laporan/foto: Senaying Ahud/Husney Hamid
GERIK, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Program Gerik Megatrails 6.0 yang berlangsung sejak 8 Mei di Lapangan Terbang Gerik di sini melabuhkan tirainya semalam dengan perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Salbiah Mohamed.

Antara peserta-peserta motocross seramai 600 orang yang menyertai Gerik Megatrails 6.0.
Salbiah menzahirkan ucapan tahniah atas penganjuran program tersebut kerana berjaya menarik minat peserta tempatan dan luar negara terutama daripada negara Thailand.
“Gerik kini bukan sekadar laluan penghubung pantai barat dan timur, sebaliknya muncul sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam dan aktiviti ekstrem yang semakin dikenali di peringkat serantau,” ujarnya ketika berucap.
Gerik Megatrails 6.0 menggabungkan elemen sukan lasak seperti luar jalan raya, kembara dan perkhemahan sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekitar banjaran Hulu Perak.

Salbiah menaiki kenderaan 4×4 simbolik pelepasan acara.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan luar biasa, melibatkan 250 buah kenderaan 4×4 dan 600 motosikal motocross yang menempuh laluan sejauh lebih 200 kilometer, masing-masing dalam tempoh tiga hari dua malam dan dua hari satu malam.
Program ini turut terdapat pelbagai aktiviti seperti festival makanan viral Food Mania by Letops Fes, persembahan qasidah, persembahan artis jemputan, Pertandingan Battle of the Band, pelumbaan Gerik Race 10km dan ceramah agama.
-ZS-