
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman / Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 13 Mei (MalaysiaAktif)-Aktiviti Gotong-Royong Perdana Komuniti MADANI Kampung Sebobok yang berlangsung semalam menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, melibatkan ibu bapa dan golongan belia.

Penduduk Kampung Sebobok pelbagai lapisan menyertai Program JIWA@Komuniti MADANI yang berlangsung semalam.
Program ini bukan sahaja memperindah kawasan sekolah dan kampung, malah berjaya menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta.
Program tersebut merupakan aktiviti anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Bau bersama Komuniti MADANI Kampung Sebobok dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sebobok yang bertujuan mencantik dan membersihkan kawasan sekolah dan perkampungan mereka.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Sebobok, Avidin Nilos, 49, memberitahu program itu memberi banyak impak positif kepada komuniti dan bertepatan dengan kehidupan bermasyarakat iaitu melakukan aktiviti sukarela secara bersama-sama boleh dijadikan budaya memperkukuh perpaduan komuniti selain meningkatkan semangat sukarelawan di kalangan ibu bapa dan generasi muda.

Avidin merakamkan penghargaan kepada JAPEN Bau atas penganjuran program yang memberi impak positif kepada penduduk Kampung Sebobok.
“Program ini cukup memberi kesan positif, khususnya kepada ibu bapa dan golongan belia. Ia menyemai semangat sukarela untuk bersama-sama menjayakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, seiring dengan nilai kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Turut hadir dalam program ini ialah Pegawai Penerangan Daerah Bau, Sumardi Sugiman.
-RJ-