
Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Hafiezuddin Md. Ghazazi
JELEBU, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Mesyuarat Agong Koperasi Pelancongan Hanya D’Pasoh kali pertama diadakan semalam telah dirasmikan oleh EXCO Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias di Laman Pelancongan FELDA Pasoh.

Persembahan caklempong.
“Koperasi ini merupakan koperasi yang baru ditubuhkan tetapi telah mendapat perhatian daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUK) berdasarkan potensi kawasan ini mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara dengan adanya Gua Pelangi yang mempunyai nilai sejarah arkeologi yang berusia beratus tahun.
“Kerajaan dalam usaha meningkatkan peluang ekonomi yang boleh menjana pendapatan berpanjangan telah meluluskan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) melalui pajakan negeri bagi memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menceburi dalam bidang pelancongan di samping mempromosi produk-produk tempatan,” katanya.

Norazlini Mohd. Ali menerangkan mengenai salah satu produk di Pasoh 4.
Menurut Pengerusi Koperasi Pelancongan Hanya D’Pasoh Norazlini Mohd. Ali, koperasi ini telah menerima tanah berkeluasan 1.6 ekar daripada kerajaan negeri bagi membina dua unit asrama, dua unit bilik seminar dan lima unit inap desa.
“Kami juga mempunyai 11 homestay (inap desa) yang berlesen dan lima lagi dalam proses kelulusan.
“Kami berbesar hati menerima kunjungan daripada penduduk tempatan dan pelancong yang ingin melawat Gua Pelangi serta menyertai aktiviti-aktiviti sampingan yang disediakan di sekitar kawasan ini,” katanya.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Radiatul Fitri Dollah.
-ZS-