
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 disambut meriah dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini, semalam.

Al-Sultan Abdullah ketika upacara pemeriksaan barisan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Min, dalam ucapannya menghargai komitmen serta dedikasi yang sentiasa ditonjolkan oleh pasukan bomba dalam setiap usaha menyelamatkan rakyat, memulihkan krisis tidak dijangka serta sentiasa memastikan negara kekal selamat.

Baginda beramah mesra dengan pengunjung yang hadir
“Dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada Syawal lalu, kita dapat lihat pengorbanan anggota bomba tanpa mengira risiko nyawa.
“Mereka mara ke hadapan dengan keberanian luar biasa, mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.
Tambahnya lagi, Kuantan dipilih menjadi lokasi pilihan Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 ini adalah bagi menghargai serta menjunjung sifat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berjiwa rakyat dan rendah diri serta sentiasa membuktikan bahawa Raja dan Rakyat berpisah tiada.
Sementara itu, Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota bomba yang berada di Negeri Pahang atas perkhidmatan dan bantuan yang dihulurkan sepanjang tahun ini dan sebelumnya.
“Sesungguhnya tanpa bantu anggota bomba ini segala masalah dihadapi di Negeri Pahang ini tidak dapat diselesaikan dengan mudah terutamanya ketika musim tengkujuh.
“Walaupun pasukan bomba telah bertapak lama di Malaysia bermula tahun 1883, lebih kurang 142 tahun dan pada 1976 pasukan ini dinaiktarafkan sebagai satu pasukan perkhidmatan, ini bermakna bomba telah 49 tahun menjadi pasukan yang disegani, syabas,” demikian titah Baginda.
-AA-