Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Hari Ibu 2025: Ibu Diperkasa Melalui Ilmu dan Kemahiran Harian

By 21 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Nor Hidayah Ismail / Bahtiar Rambli (Sarawak)

BINTANGOR, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Program Pembangunan Komuniti Sempena Hari Ibu 2025 dengan tema “Ibu Inspirasi Setiap Langkah” anjuran Majlis Daerah Maradong dan Julau (MDMJ), semalam disambut meriah dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan memperkasa kemahiran dan pengetahuan ibu-ibu dalam kehidupan seharian.

Ilmu Kesihatan Untuk Ibu: Dr. Dayang tekankan kepentingan pendidikan kesihatan berterusan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pemanca Yee Hie Seng, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing. Program ini menjadi simbol komitmen terhadap pembangunan kapasiti ibu-ibu dan suri rumah tangga sebagai tonggak institusi keluarga.

Antara pengisian utama program termasuk ceramah dan pemeriksaan kesihatan percuma, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Dr. Dayang Haniffa Abang Hashim 36, program seumpama ini wajar dijadikan acara berkala sebagai platform pendidikan kesihatan, khususnya kepada golongan ibu.

Latihan pemadaman kebakaran tingkatkan kesedaran ibu dalam menangani kecemasan.

Selain itu, demonstrasi pemadaman kebakaran turut diadakan bagi memberi pendedahan tentang langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil sekiranya berlaku kecemasan di rumah.

Aspek kelestarian alam sekitar turut diberi penekanan melalui bengkel penghasilan eco-enzyme – larutan serbaguna hasil penapaian sisa organik seperti kulit buah, bawang, sisa sayuran, gula dan air.

“Larutan ini merupakan inovasi lestari yang mudah disediakan di rumah dan boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan dapur. Ia bukan sahaja mesra alam, malah mendorong amalan kitar semula,” ujar Puan Suraya Suhaili 32, dari Bahagian Kesihatan Awam MDMJ.

Program turut dimeriahkan dengan pertandingan Iron Chef Lady yang memfokuskan kepada penyediaan menu sihat serta pertandingan Recycled Glam yang menampilkan kreativiti dalam penggunaan semula bahan terpakai. Kedua-dua acara ini mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat.

Iron Chef Lady: Galak gaya hidup sihat bermula di dapur sendiri.

Di samping itu, beberapa gerai jualan dibuka sebagai ruang keusahawanan kepada ibu-ibu bagi menjana pendapatan dan mempromosikan produk tempatan.

Program ini jelas mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa peranan wanita sebagai agen perubahan dalam keluarga dan komuniti melalui ilmu, kesedaran dan kemahiran praktikal.

-RJ-

Tinggalkan komen anda