
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)
DUNGUN, 28 Mei (MalaysiaAktif) – Sebuah lagi mercu tanda komuniti, KPK Homestay Pantai Sura Terengganu telah dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) dalam satu majlis gilang-gemilang, di sini semalam.

Inap desa ini bukan sekadar tempat menginap, malah ruang menjana peluang pekerjaan dan mengukuhkan ikatan komuniti
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penubuhan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Dungun Berhad (KOPDUN) adalah satu langkah proaktif dalam memperkasa ekonomi pekebun kecil melalui pelbagai inisiatif keusahawanan termasuk pengoperasian inap desa yang kini menjadi pemacu baharu ekonomi komuniti.

3 unit rumah semi-D berhampiran Pantai Teluk Lipat ini lengkap dengan kolam renang dan kemudahan moden
“Homestay ini bukan sekadar menawarkan penginapan, malah membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan memperkukuh ikatan masyarakat setempat,” katanya.
Inap desa yang terletak strategik berhampiran Pantai Teluk Lipat, pusat bandar Dungun dan UiTM Dungun ini menampilkan tiga unit rumah jenis semi-D yang lengkap dengan kemudahan kolam renang, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga, rombongan kerja dan percutian santai.
Menurut Setiausaha KOPDUN Hassidy Hasan, inap desa ini dibangunkan demi memenuhi permintaan pelancongan tempatan sambil menyokong matlamat koperasi dalam memperkukuh jaringan ekonomi pekebun kecil.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu Awang Ruslli Mohammad dan Ma’at Ismail Pengerusi KOPDUN serta wakil-wakil ketua jabatan dan sektor swasta.
-AA-