
Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Pada cuti hujung minggu yang lalu, penulis berpeluang menziarahi Makam Pahlawan di pekarangan Masjid An-Nur Sibu, lokasi bersejarah yang menyimpan kisah perjuangan empat anak muda Sarawak yang gugur mempertahankan maruah tanah air daripada cengkaman penjajahan British.
Makam tersebut menempatkan jasad pejuang terkenal Rosli Dhobi bersama tiga rakan seperjuangannya Awang Ramli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek dari yang dihukum mati oleh penjajah pada tahun 1950.
Ziarah ini bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga satu perjalanan jiwa yang menyentuh hati, membangkitkan semangat patriotik dan cinta terhadap keamanan serta perpaduan dalam kalangan generasi kini.
Pengorbanan Rosli Dhobi dan rakan-rakan bukan sekadar catatan buku teks sejarah tetapi bukti keberanian luar biasa anak muda yang berjuang atas nama agama dan kemerdekaan.

Julkipli Mahmud berkongsi pengalaman dan penghayatan semangat patriotik di lokasi sejarah tersebut.
Menurut Julkipli Mahmud, 42 tahun yang juga sahabat penulis dan turut serta dalam ziarah tersebut, pengalaman berada di lokasi ini memberi kesan mendalam terhadap penghayatan makna perjuangan dan pengorbanan sebenar.
“Kita sering mendengar nama Rosli Dhobi dalam buku teks, tetapi berdiri sendiri di hadapan makamnya membuka mata saya tentang keberanian luar biasa seorang remaja yang sanggup mempertaruhkan nyawanya,” ujar Julkipli dengan penuh semangat.
Tambahnya, semangat dan keberanian Rosli Dhobi wajar dihayati dalam bentuk cinta akan keamanan, kedaulatan dan perpaduan rakyat.
Ziarah ini menjadi pengingat bahawa kemerdekaan dan kedamaian yang kita nikmati hari ini dibayar dengan darah dan nyawa para pejuang terdahulu.
-RJ-