
Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan Insentif Konsert dan Acara (CEMI) yang bakal merancakkan industri kreatif dan acara negara.
“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Insentif Konsert dan Acara ataupun Concerts and Events Malaysia Incentive ataupun CEMI yang merupakan program insentif penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa akan mula dibuka untuk permohonan mulai 15 Mei 2025 sehingga 10 Julai 2025.
“Insentif ini bertujuan untuk memacu pertubuhan dan pembangunan industri konsert dan acara di Malaysia bagi menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa dan berkualiti ke Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kerajaan menjangkakan insentif ini akan berupaya untuk menjana peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah pelancong dan memberi impak ataupun limpahan ekonomi yang signifikan kepada negara.
Fahmi, berkata demikian di Sidang Media Mingguan, di sini sebentar tadi.
Katanya lagi, panduan dan syarat permohonan mengenai insentif tersebut boleh dirujuk di laman sesawang http://www.mycreativeventures.com.my/CEMl.
“Inisiatif CEMI akan menawarkan insentif kewangan kepada penganjur acara yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“Ia merangkumi skala acara, impak ekonomi dan peningkatan kadar pelancongan yang dijangka, penglibatan kadungan tempatan serta pematuhan kepada garis panduan program,” katanya.
-ZS-