
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Selain fokus kepada elemen jati diri, kolaborasi budaya menerusi Jambori Nusantara 2025 membuktikan pergerakan pengakap masih relevan serta dinamik bagi mencorak masa depan yang harmoni untuk seluruh rantau Asia Tenggara.
Disertai lebih 2,300 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei, jambori selama lima hari itu menyatukan serta memperkasa peranan belia menerusi pergerakan pengakap rantau Nusantara dalam satu platform.

Lee Chee Kiong, ketika menyampaikan ucapan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan, berkata penglibatan kontinjen antarabangsa menyerlahkan komitmen pergerakan pengakap sebagai medium perpaduan rentas sempadan.
“Ini satu perhimpunan yang cukup bermakna. Ia bukan sekadar program – ini jambatan budaya dan penyatuan serantau yang harus diteruskan. Melaluinya, kita dapat memupuk semangat perpaduan dan memperkukuh hubungan serantau yang sedia terjalin,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Kem Pengakap Tiku, di sini hari ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tawau Lee Chee Kiong, menegaskan jambori ini adalah medan terbaik mencungkil potensi dan membina karakter generasi muda.
“Di sinilah mereka belajar kepimpinan sebenar, bukan sekadar berkhemah, ini latihan hidup dan diharap agar lebih banyak program sebegini diadakan serta diperluaskan ke seluruh negeri,” ujarnya.

Putri dari Nunukan, Indonesia, ketika ditemui media.
Bagi Putri Saulia Karina, 17, dari Nunukan, Indonesia, penyertaannya merupakan pengalaman luar biasa yang penuh dengan pengisian.
“Saya sangat teruja, suasananya meriah dan penuh semangat, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk persembahan tarian dan berharap Jambori ini akan terus berkembang ke peringkat lebih luas,” katanya.
Jambori kali ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Konsulat Republik Indonesia Aris Heru Utomo dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Jamaludin @ Jamal Jinal.
Bertemakan ‘Pengakap Pemangkin Perpaduan Serantau’, Jambori Pengakap Antarabangsa Nusantara ke-3 berlangsung bermula dari 29 Mei hingga 2 Jun 2025.
-ZS-