Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Jeti Baharu RM1.5 Juta Di Kunak Di Bawah Inisiatif SMJ

By 21 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Fotografi: Priscilla Chong & Roslan Rungan (Kunak)

KUNAK, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Jeti kayu lama yang uzur dan tidak lagi selamat digunakan di Kampung Pangkalan, Kunak bakal digantikan dengan struktur baharu menerusi peruntukan RM1.5 juta daripada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Daerah Kunak, Suhaimin Jadil, menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira yang telah lama dinantikan oleh penduduk kampung, terutamanya golongan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada kemudahan tersebut.

Hajiji Hajiji menyampaikan ucapan perasmian semasa Majlis Bersama Ketua Menteri di Padang Pekan Kunak, semalam.

“Kami amat bersyukur kerana kerajaan mendengar rintihan penduduk. Jeti lama sering dinaiki air laut dan tidak lagi selamat digunakan. Pembinaan jeti baharu ini akan memberi keselesaan dan keselamatan yang lebih baik kepada penduduk,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak yang berlangsung di Padang Pekan Kunak, semalam.

Tambah beliau, projek ini akan memberi impak besar kepada kehidupan harian penduduk, khususnya mereka yang terlibat dalam aktiviti perikanan sebagai sumber pendapatan utama.

“Jeti ini bukan sahaja menjamin keselamatan, malah akan mempertingkatkan mobiliti dan memacu pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya lagi.

Dalam ucapannya semasa majlis tersebut, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mengumumkan peruntukan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mempertingkatkan kemudahan asas luar bandar serta merangsang pembangunan ekonomi setempat melalui inisiatif SMJ.

Semasa lawatan rasmi itu juga, Ketua Menteri turut mengumumkan beberapa projek pembangunan lain yang bakal dilaksanakan di Kunak, termasuk pembinaan sebuah Kompleks Sukan dan Dewan Masyarakat bagi kegunaan dan manfaat warga tempatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda