
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Hari bekerja bukanlah halangan buat ibu bapa di Kampung Skiat Baru, meskipun datang daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, untuk hadir dan memeriahkan Program JIWA@Komuniti MADANI yang berlangsung di kampung tersebut, semalam.

Sesi dialog memberi ruang kepada penduduk Kampung Skiat Baru berkongsi pandangan.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru, Barin Niyat, 53, berkata penganjuran program secara bersemuka ini sebagai satu usaha murni JAPEN Bau dalam membantu masyarakat kampung mendapatkan maklumat yang sahih, tepat dan terkini.
“Dalam era moden dan digital ini, masyarakat berdepan pelbagai cabaran seperti penyebaran berita palsu yang boleh membawa kesan negatif sekiranya tidak ditangani dengan bijak.
“Pendekatan JAPEN Bau yang turun padang amat bertepatan dengan kehendak komuniti yang inginkan maklumat sahih dan jelas,” ujarnya.

Sesi soal jawab memudahkan peserta mendapat maklum balas berkaitan isu-isu semasa.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Bau dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Skiat Baru itu bertujuan memperkukuh perpaduan komuniti berasaskan prinsip Rukun Negara, di samping meningkatkan kefahaman penduduk terhadap inisiatif kerajaan dan isu-isu semasa.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Bau Sumardi Sugiman.
-ZS-