
Laporan/foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Malaysia Digital (JMD)@Kuching yang berlangsung semalam merupakan inisiatif strategik bagi memperkasakan rakyat melalui kemahiran digital, dengan fokus khusus pada kandungan kreatif digital seperti animasi, permainan digital, dan teknologi kreatif. Program ini juga menampilkan syarikat-syarikat tempatan berprestasi tinggi yang mempamerkan inovasi mereka.
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh, berkata bahawa JMD@Kuching bukan sekadar pameran teknologi, tetapi sebuah platform penting untuk mencungkil bakat, membina jaringan, dan memperkukuh kolaborasi antara kerajaan, industri, dan komuniti, khususnya dalam pembangunan Kluster Kreatif Digital.

Jimsley Lim (kanan), 31, berkongsi tentang inovasi Kristy AI kepada pengunjung semasa program JMD@Kuching, semalam.
“Program seperti ini sangat bernilai dan wajar diperbanyakkan kerana ia membantu dan memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosi dan memperluaskan produk teknologi maklumat mereka ke bandar-bandar lain,” ujar Jimsley Lim, 31, Pengurus Syarikat ARX Media, yang turut membuka booth pameran semasa program tersebut.

Pengunjung berinteraksi bersama Kristy AI, ejen kecerdasan buatan multibahasa pertama Malaysia, di booth ARX Media.
Jimsley turut memperkenalkan produk terbaru syarikat mereka, Kristy AI — ejen AI multibahasa pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh Rangka Kerja Revolusioner ARx AI. Kristy AI telah merevolusikan cara interaksi dengan teknologi dengan meruntuhkan halangan bahasa, membolehkan komunikasi lancar dan inklusif merentas budaya dan komuniti.
“Kristy fasih dalam semua bahasa utama dan memastikan komunikasi yang benar-benar global,” tambah Jimsley.
-RJ-