
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)/JPJ
JOHOR BAHRU, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan rekaan terbaharu Lesen Memandu Malaysia (LLM) yang ditambah baik dengan ciri-ciri keselamatan terkini dan mesra selamat.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata kad LLM berkenaan telah mula diedarkan hari ini (Rabu) di cawangan kaunter JPJ secara berperingkat di seluruh negara.

Aedy Fadly mengadakan lawatan kerja ke Institut Memandu Insentif Sdn Bhd bagi melihat pengoperasian pusat memandu di Adda Height, semalam.
“LLM ini boleh diguna pakai untuk warganegara yang akan ke luar negara dan hanya dibenarkan dalam bentuk cetakan fizikal sahaja yang mempunyai versi terkini serta ciri-ciri keselamatan terbaik dan akan digunakan semasa pemeriksaan ketika berada di luar negara,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Lesen Memandu Malaysia (LLM) di Institut Memandu Intensif Sdn Bhd, di sini semalam.
Menurutnya lagi, versi baharu yang diperkenalkan ini mampu mencegah pengubahsuaian dan pemalsuan kad LLM selain mempunyai daya tahan penggunaan selama 10 tahun.
“Dari segi reka bentuk LLM ini memaparkan gambar berlatar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad dan juga terdapat abstrak gelombang dan Istana Negara di hadapan serta abstrak flora di belakangnya,” katanya.
Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Muhammad Kifli Mad Hassan dan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan.
-ZS-