Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

JTDC Sasar 20,000 Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi di Johor

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/FB Onn Hafiz Ghazi (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) merupakan inisiatif utama di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi selari dengan keperluan pelabur dan industri yang semakin berkembang di Johor.

Sesi lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke pejabat JTDC di Medini Iskandar, Iskandar Puteri

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata menerusi pelaksanaan secara berfasa bermula tahun ini, JTDC menyasarkan penyediaan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Antara strategi utama JTDC adalah menjalin kerjasama langsung dengan pelabur, syarikat industri, enam universiti dan 15 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih di negeri ini.

Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau kemajuan pembinaan pejabat operasi Johor Talent Development Council (JTDC) di Medini Iskandar, Iskandar Puteri

“Selain itu, melalui platform seperti pejabat JTDC dan Karnival Kerjaya Premium, sebanyak 10,000 graduan akademik dan TVET disasarkan setiap tahun,” katanya selepas sesi lawatan ke tapak projek pembinaan pejabat operasi JTDC di Medini Iskandar, di sini semalam.

Beliau turut memaklumkan, JTDC juga sedang melaksanakan transformasi institusi pendidikan di Johor yang melibatkan tujuh Institut Pengajian Tinggi (IPT), dengan sasaran melahirkan 3,000 graduan berkualiti setiap tahun.

“Transformasi ini meliputi penaiktarafan silibus, fasiliti dan tenaga pengajar, dijadualkan bermula Januari hingga April 2025,” katanya.

Tambah Datuk Onn, pendekatan direct intervention turut diperkenalkan menerusi Dana Latihan dan Penempatan Kerja bagi membantu anak muda yang memerlukan sokongan lebih langsung.

“Inisiatif ini menyasarkan 5,000 pelatih pada tahun 2025 melalui geran latihan, subsidi, karnival kerjaya dan galakan penggunaan portal kerjaya JTDC,” ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Onn menegaskan JTDC terus komited menjadi pemacu utama dalam menjadikan Johor sebagai negeri pengeluar tenaga kerja berkemahiran tinggi, dinamik dan bersedia menerima gelombang pelaburan masa hadapan.

-AA-

Tinggalkan komen anda