
Laporan & Foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 16 Mei (MalaysiaAktif)– Kejayaan penganjuran Pesta Kaamatan Kudat dan Banggi 2025 di Dewan Tun Mustapha menyerlahkan komitmen tinggi masyarakat tempatan dalam memperkukuh perpaduan dan memartabatkan warisan budaya pelbagai etnik, khususnya komuniti Kadazandusun Murut Rungus (KDMR).
Sambutan yang meriah itu disertai oleh masyarakat berbilang kaum dan latar belakang, mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh seiring dengan tema tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua.”

Hendrus menyampaikan ucapan perasmian Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Tun Mustapha, Kudat semalam.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding, mewakili Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan penggunaan bahasa ibunda dan kepupusan budaya tradisional akibat arus pemodenan.
“Kita amat bimbang dengan situasi kini di mana bahasa ibunda semakin kurang digunakan dalam kalangan generasi muda, manakala budaya tradisional makin terpinggir. Ini satu peringatan agar kita segera bertindak untuk melestarikan warisan kita,” katanya dalam ucapan perasmian di sini, pada Khamis.
Ketua Kumpulan Penari Tadak Umai dari suku Dusun Bonggi, Rose Layout, 34, turut berkongsi pengalaman menyertai sambutan tersebut walaupun perlu meredah perjalanan laut dari Pulau Banggi ke Kudat.
“Semangat untuk memperkenalkan tarian tradisional daerah kecil kami tetap utuh. Ia bukan sahaja mengetengahkan budaya kami, tetapi juga mengeratkan silaturahim dan semangat perpaduan antara kaum,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kaamatan Kudat dan Banggi 2025, Erniedewi Siska Barahim, 29, menekankan kepentingan memelihara bahasa dan budaya etnik KDMR dalam kalangan generasi muda.

Persembahan tarian Mongigol Sumandai oleh kumpulan dari suku kaum Rungus memukau hadirin dengan keunikan gerak tari tradisional mereka.
“Ramai anak muda kini tidak lagi fasih bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Melalui Kaamatan, kita dapat mendidik, menghargai dan mengamalkan semula bahasa serta budaya kita. Pada masa yang sama, nilai murni dan semangat perpaduan terus dapat dipupuk,” ujarnya.
Bagi peserta, Siti Murni Mohd Ismail, 37, Pesta Kaamatan 2025 merupakan satu pengalaman bermakna dan menyeluruh.
“Saya berharap Pesta Kaamatan 2026 akan lebih meriah dan disertai lebih ramai peserta, termasuk wakil daripada pelbagai agensi kerajaan. Kaamatan bukan hanya untuk masyarakat KDMR, tetapi untuk semua rakyat Sabah,” katanya.
Penganjuran Kaamatan Kudat dan Banggi 2025 membuktikan bahawa ia bukan sekadar perayaan budaya, tetapi simbol perpaduan, identiti dan kebanggaan rakyat Sabah.
-RJ-