Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kaamatan Untuk Semua: Kg. Bokok Kituau Raikan Perpaduan dan Warisan

By 29 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norliza Yusof/Petrick Benedict (Penampang)

PENAMPANG, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 dengan tema “Kaamatan Untuk Semua” atau dalam bahasa Kadazan Dusun “Kaamatan Montok Toinsanan” terus memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum, seperti yang ditonjolkan oleh komuniti Kampung Bokok Kituau, Penampang.

Seni Halus Warisan – Peserta menunjukkan kreativiti dalam pertandingan membuat renda baju boludu.

Melalui Program Jiwa@Komuniti MADANI sempena Pesta Kaamatan, penduduk kampung memperlihatkan komitmen tinggi dalam memelihara warisan dan budaya melalui pelbagai aktiviti termasuk pertandingan sukan tradisi.

Pegawai Penerangan Daerah Penampang, Mohd Ishak Ag Besar, berkata program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan tetapi turut mendidik masyarakat untuk menghargai keunikan tradisi dan budaya tempatan.

Mohd Ishak merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Pesta Kaamatan, semalam.

“Tema ‘Kaamatan Untuk Semua’ mengajak semua kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kekayaan budaya, warisan bermakna serta semangat perpaduan yang jitu. Penglibatan masyarakat pelbagai latar belakang dalam acara seperti membuat renda baju boludu, mengasingkan padi daripada beras, melastik dan merambat membuktikan keterangkuman dalam sambutan ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Kampung Bokok Kituau, Isnin lalu.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Bokok Kituau, Susanna Fung, menyatakan bahawa program seumpama ini dapat menarik minat lebih ramai golongan belia serta memberi pendedahan berharga terhadap budaya tempatan.

Rambat- Aksi Tradisi pertandingan merambat menarik perhatian peserta dan penonton.

“Penglibatan dan sokongan masyarakat dalam menjayakan program ini amat membanggakan. Ia juga menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus mendalami dan memartabatkan bahasa ibunda, tarian, seni halus dan muzik tradisional agar tidak dilupakan,” katanya.

Selain pertandingan sukan tradisi, program turut diserikan dengan demonstrasi penyediaan makanan tradisi Nanggiu, persembahan koir kanak-kanak, tarian Sumazau dan cabutan tiket bertuah – semuanya menyatukan komuniti melalui elemen budaya dan warisan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda