Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Karnival Jom Masuk ke IPTA beri Manfaat kepada Pelajar Lepasan SPM

By 14 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kalaimani Munian/Khairul Nazrie Mat Nayan

IPOH, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Kehadiran hampir 1,000 orang yang terdiri daripada ibu bapa dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah memenuhi Dewan KIA, Buntong di sini semalam bagi Program Karnival Jom Masuk ke IPTA yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Buntong dengan kerjasama Komuniti MADANI Buntong C berjaya mencapai objektifnya menyediakan pelbagai informasi penting untuk membantu pelajar dalam membuat keputusan mengenai masa depan akademik dan kerjaya mereka.

Sesi jelajah mesra Howard Lee Chuan How, Tulsi Manogaran dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Perak merangkap ADUN Canning Jenny Choy ke reruai pameran.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong Tulsi Managoran, program ini bertujuan untuk memberikan pelajar maklumat yang lebih jelas dan peluang bagi berjumpa terus dengan agensi pendidikan serta pihak-pihak yang dapat membantu merancang masa depan mereka selepas tamat SPM.

“Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar mendapatkan informasi dengan lebih jelas dan langsung dengan pihak universiti serta agensi pendidikan bagi merancang masa depan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How dalam ucapan perasmiannya, mengharapkan program ini diteruskan bagi peringkat Daerah Kinta pula supaya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dan ibu bapa.

Orang ramai mengunjungi reruai pameran untuk mendapatkan maklumat terus daripada pegawai bertugas.

“Saya ingin mengingatkan semua pelajar lepasan SPM bahawa tarikh terakhir permohonan kemasukan UPU (Unit Pusat Universiti) adalah pada 18 Mei 2025. Oleh itu, saya berharap mereka mengambil peluang ini untuk membuat permohonan kursus yang tepat.

“Program Karnival Jom Masuk ke IPTA ini merupakan satu platform yang bermanfaat bagi pelajar lepasan SPM untuk mendapatkan informasi yang tepat dalam merancang masa depan akademik dan kerjaya mereka,” ujarnya.

Selain daripada pameran dan taklimat pendidikan, para pelajar juga berpeluang untuk membeli Pelan MySISWA, yang merupakan pilihan tepat bagi pelajar yang memerlukan perkhidmatan telekomunikasi dengan harga yang lebih murah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda