
Laporan/foto: Abd Aziz Osman
BERTAM, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Prihatin terhadap masa depan pendidikan anak-anak muda, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam menganjurkan Karnival Jom Sambung Belajar khusus buat lepasan SPM 2024 di ruang legar Sunshine Bertam, kelmarin.

Sebanyak 30 reruai IPTA & IPTS yang memgambil bahagian di karnival ini.
ADUN Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ketika merasmikan program, berkata pendidikan sebagai pemacu utama mobiliti sosial golongan muda terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Kalau anak-anak kita tak cari peluang sambung belajar biar kami pemimpin bawakan peluang itu terus kepada mereka kerana ini amanah dan tanggungjawab,” tegasnya.
Sebanyak 30 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai karnival ini dengan menawarkan pelbagai laluan pendidikan daripada kursus profesional kepada program kemahiran sesuai untuk pelajar berbeza tahap pencapaian akademik.

Reezal melawat ke reruai pameran.
Sebagai wakil rakyat, Reezal juga menegaskan komitmennya membantu pelajar kurang berkemampuan di DUN Bertam dengan menyediakan bantuan kewangan awal untuk menyambung pelajaran.
“Hadir saja ke pejabat saya kami sedia bantu, jangan biar faktor kewangan jadi penghalang untuk berjaya,” katanya.
Reezal turut menekankan keperluan tenaga mahir di negeri Pulau Pinang yang merupakan zon industri utama negara dalam sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor, menyumbang hampir 60 peratus kepada pelaburan asing negara.
-ZS-