Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Karnival Kesihatan dan Kebajikan Bagan 2025 Tarik Lebih 5,000 Pengunjung

By 55 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: R.Vikneswaran/Mohd Ridhuan (Seberang Perai Utara)

BUTTERWORTH, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Karnival Kesihatan dan Kebajikan Bagan 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, di sini kelmarin.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam dan Pejabat Ahli Parlimen Bagan ini merupakan penganjuran sulung yang mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo.

Sundarajoo hadir merasmikan Karnival Kesihatan dan Kebajikan Bagan 2025.

Dalam ucapannya, Sundarajoo menyeru rakyat negeri ini agar merebut peluang ditawarkan kerajaan negeri berkaitan pemilikan rumah mampu milik.

“Kerajaan negeri menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus serta yuran tempahan serendah RM10 kepada 300 pembeli terawal yang layak di bawah skim perumahan kerajaan,” katanya.

Sebanyak 20 agensi kerajaan dan swasta turut terlibat menjayakan karnival ini antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Telekom Malaysia dan banyak lagi.

Kumaran Krishnan bersama pengunjung yang hadir.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pendaftaran dan semakan bantuan iSejahtera, Permohonan pendaftaran OKU dan mySalam, semakan status permohonan rumah mampu milik serta bayaran saman trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan tawaran diskaun khas.

Sementara itu, ADUN Bagan Dalam Kumaran Krishnan, menyifatkan program ini sebagai satu bukti nyata komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa aspek kebajikan dan kesihatan rakyat.

“Karnival ini bukan sahaja memudahkan akses masyarakat kepada pelbagai perkhidmatan awam malah mengukuhkan hubungan antara rakyat dan agensi kerajaan,” ujarnya.

Kemeriahan program turut diserikan dengan Jualan Rahmah serta minuman tajaan percuma Vico dan Sunquick sepanjang acara berlangsung.

-ZS-

Tinggalkan komen anda