
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Majlis Daerah Pendang (MDP) telah berjaya menganjurkan Program Karnival Komuniti@Pendang bertempat di Mini Stadium Pendang, semalam.

Sukaneka kanak-kanak yang turut memeriahkan program.
Setiausaha MDP Norfazni Mustafa, berkata idea untuk melaksanakan program ini dicetuskan berteraskan Dasar Komuniti Negara dalam meningkatkan rasa prihatin, tanggungjawab serta kecintaan terhadap harta benda, ruang, fasiliti, komuniti serta kawasan perumahan yang didiami.
“Objektif utama program ini diadakan adalah bagi membentuk komuniti yang peka terhadap isu-isu masyarakat, saling menghormati dan menghargai serta memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain,” ujarnya.
Program yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Muhammad Hamdi Abdullah Zawawi itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memasak, sukan rakyat, sukaneka kanak-kanak, pertandingan nyanyian bintang kecil, larian ria, Program Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan dan swasta serta banyak lagi aktiviti menarik yang lain.

Nasrun (kiri) melawat ke gerai-gerai jualan.
Penolong Pegawai Tadbir MDP selaku penyelaras program Bismayazar Yusoff, memaklumkan program ini juga diadakan bagi menghargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh komuniti sepanjang tahun 2024.
“Tanpa adanya kerjasama daripada warga komuniti di sekitar daerah Pendang, program-program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.
Para pesilat daripada Pengurusan Seni Silat Gayong Fatani, Bukit Patong telah memukau pengunjung dengan persembahan istimewa seni silat gayong dalam majlis perasmian dan penyampaian hadiah.
-ZS-