
Laporan/foto: Eliasak Omar/Nur Rezwane (Seberang Perai Utara)
SUNGAI PUYU, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Karnival Mini@Sungai Puyu yang berlangsung meriah, di sini kelmarin berjaya menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat sekali gus menyerlahkan semangat perpaduan dan komuniti setempat.
Program anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Syn Tze itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Daniel Gooi yang turut menyuarakan sokongan terhadap penganjuran program berasaskan komuniti seperti ini.

Phee Syn Tze, berkata program ini dapat meraikan kepelbagaian dan mempererat hubungan penduduk setempat.
“Karnival sebegini bukan sekadar menghiburkan, malah membuktikan kekuatan masyarakat apabila diberi ruang dan sokongan.
“Ia menyatukan pelbagai pihak dalam suasana yang sihat dan menyeronokkan meliputi aspek kesihatan, pendidikan dan sosial,” ujarnya dalam ucapan perasmian.
Antara pengisian utama sepanjang karnival termasuk sukan rakyat, saringan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, e-sukan, pameran agensi kerajaan dan swasta, Jualan Rahmah, cabutan bertuah serta sesi sembang santai bersama pemimpin setempat.
Menariknya, program ini turut berfungsi sebagai platform terbuka bagi penduduk menyuarakan pendapat dan aspirasi mereka secara langsung kepada wakil rakyat dalam suasana santai dan mesra.

Pengunjung pelbagai lapisan masyarakat yang hadir memeriahkan program.
Pendekatan ini dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala antara masyarakat dan pemimpin tempatan.
Menurut Phee Syn Tze, penganjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan beliau dalam mengangkat agenda pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti di peringkat akar umbi.
“Sungai Puyu bukan sekadar perlu membangun dari segi fizikal tetapi juga dari sudut sosial, kesihatan dan semangat kejiranan.
“Inilah platform untuk kita meraikan kepelbagaian dan mempererat hubungan sesama penduduk,” katanya.
Karnival Mini@Sungai Puyu edisi 2025 diharapkan akan diteruskan pada masa hadapan sebagai acara tahunan berskala lebih besar, seiring usaha membina komuniti yang lebih harmoni, progresif dan sejahtera di kawasan ini.
-ZS-