
Laporan/foto: U.Prakash/Rashid (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 120 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Xavier diberi peluang merasai pengalaman sebenar sebagai pengundi dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Program Jiwa@Kelab Malaysiaku – Taklimat dan Simulasi Pilihan Raya, anjuran Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut dengan kerjasama SPR dan Kelab Malaysiaku sekolah berkenaan.

Pelajar-pelajar yang diberi peranan sebagai petugas simulasi pilihan raya.
Simulasi pilihan raya tersebut menyaksikan pelajar diberi peranan sebagai calon, pengundi, pegawai SPR serta pemerhati pilihan raya.
Proses pengundian dijalankan mengikut prosedur sebenar lengkap dengan penggunaan kertas undi, peti undi, dakwat kekal dan daftar pemilih.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Saint Xavier Siti Ilyani Ibrahim, menyifatkan program itu sebagai wadah pendidikan sivik yang amat relevan.
“Ia membuka ruang kepada pelajar untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai bakal pengundi sejajar dengan usaha membentuk generasi celik demokrasi,” katanya, di sini semalam.

Taklimat simulasi pilihan raya daripada Pegawai SPR kepada pelajar.
Bagi pelajar tingkatan lima, Tan Jia Wei, 17, pengalaman sebagai pegawai pengurus pilihan raya memberi perspektif baharu tentang integriti dan ketelusan proses pilihan raya.
“Rupanya banyak yang berlaku di sebalik tabir, saya kini lebih menghargai peranan SPR dan yakin akan pentingnya satu undi dalam menentukan masa depan negara,” katanya.
Program yang bermula seawal puku 8.00 pagi itu diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pegawai SPR serta penyerahan sijil penyertaan kepada semua pelajar yang terlibat.
-ZS-