
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SERENDAH, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 kepada waris mendiang Dhineshwaran Daimodu, 24, seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut pada 5 Mei lalu.
Mendiang masih bujang namun faedah Pencen Penakat layak dibayar kepada ibu, bapa serta adiknya yang berumur 17 tahun.

(Kanan) Dr. Sathia menenangkan ibu bapa mendiang yang terlibat dalam kemalangan maut pada 5 Mei lalu.
Majlis simbolik penyerahan faedah PERKESO disempurnakan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan di kediaman waris mendiang di Taman Melati, di sini semalam.
Turut hadir Pengurus PERKESO Rawang, Jamilah Siro.
Jamilah. berkata faedah diberikan hasil daripada caruman mendiang di bawah Skim Keilatan.
“Caruman PERKESO sangat penting sebagai perlindungan sosial untuk keluarga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Semua majikan dan pekerja, termasuk mereka yang bekerja sendiri dan suri rumah, dinasihatkan mencarum demi perlindungan diri dan keluarga,” tegasnya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai caruman dan faedah PERKESO di laman sesawang http://www.perkeso.gov.my.