
Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Di sebalik kemajuan dan perubahan gaya hidup masa kini, masih ada insan yang gigih mempertahankan warisan tradisional serta menyumbang kepada masyarakat. Salah seorang daripadanya ialah Ayu Kias, 57, Ketua Kampung Agropolitan Seduku, Lingga.

Ayu di bengkel binaan kepok pusara bersebelahan rumahnya di sini semalam.
Selain memikul tanggungjawab sebagai ketua masyarakat, Ayu turut dikenali sebagai pembuat kepok kubur, pengukir batu nisan, dan pengamal perubatan tradisional – semuanya warisan turun-temurun yang diteruskan dengan penuh dedikasi.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini, hasil pertukangan tangan Ayu dalam pembuatan kepok dan batu nisan simen terus mendapat permintaan tinggi, bukan sahaja dari kawasan Lingga dan Sri Aman, malah melangkaui hingga ke Kuching, Sarikei dan Sibu.
“Saya belajar daripada abang saya dulu. Bila dia berpindah ke Miri, saya ambil alih dan teruskan. Alhamdulillah, sekarang sudah lebih dua dekad saya mengusahakan kerja ini,” katanya ketika ditemui di bengkel terbuka bersebelahan rumahnya semalam.

Kepok dan batu nisan simen hasil tangan Ayu, disusun kemas sebelum dihantar kepada pelanggan.
Setiap kepok yang dihasilkan adalah berdasarkan tempahan – dari segi bentuk, saiz, dan ketinggian – namun tetap mengekalkan prinsip kesederhanaan selaras dengan tuntutan Islam dan saranan pihak berkuasa agama tempatan.
“Kepok bukan sekadar hiasan, tapi lambang kasih sayang dan penghormatan keluarga kepada si mati. Sebab itu, ia perlu dibuat dengan adab dan niat yang betul,” jelasnya, sambil menegaskan bahawa beliau menolak sebarang permintaan bercirikan kemewahan melampau bagi mengelakkan unsur riak dan pembaziran.

Kepok simen pelbagai saiz menanti proses akhir sebelum diserahkan kepada waris.
Menariknya, Ayu masih menggunakan acuan kayu tradisional yang diwarisi daripada generasi terdahulu untuk memastikan ukuran yang tepat dan pematuhan kepada syarak.
“Ada pelanggan dari bandar minta ukiran rumit atau reka bentuk khas, tapi saya akan jelaskan bahawa kubur bukan tempat untuk bermegah. Biasanya mereka faham dan akur,” ujarnya.
-RJ-