Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Keunikan Rumah Tok Su dan Seri Banai

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Intan Iryani Mohamad (Kedah)

ALOR SETAR, 21 Mei (MalaysiaAktif) – Negeri Kedah memang terkenal dengan struktur unik seni bina rumah tradisional Melayu yang berdindingkan kayu meranti atau temak dan beratapkan rumbia seperti di Kampung Warisan, di sini.

Kawasan rumah ini dijadikan tempat untuk mengambil gambar jika para pengunjung datang ke sini.

Sempena Tahun Melawat Kedah 2025, salah satu tempat yang harus dikunjungi pelancong ialah Rumah Toksu dan Seri Banai.

Kampung Warisan yang terletak berhadapan Wisma Pentadbiran Negeri (Wisma Darul Aman) menempatkan Rumah Tok Su dan Seri Banai yang menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu dipercayai berusia hampir 100 tahun.

Keistimewaan rumah ini juga terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar.

“Saya dah menjaga Rumah Tok Su dan Seri Banai ini selama empat tahun.

“Setiap petang ramai pengunjung datang ke sini untuk beriadah bersama keluarga dan tempat ini dijadikan lokasi untuk beberapa penggambaran filem, majalah dan dokumentari,” kata pengawal keselamatan, Yahya Sahri, 60, ketika ditemui semalam.

Ukiran kerawang yang terdapat di rumah Tok Su.

Rumah Tok Su bukan berasal dari Alor Setar tetapi dipindahkan dari lokasi asal dari Kampung Permatang Kerat di Bandar Baharu yang letaknya kira-kira 200 kilometer dari Alor Setar.

Nama Tok Su diberikan sempena nama panggilan anak bongsu pemilik asal rumah itu.

Rumah Seri Banai pula berasal dari Kampung Banai di daerah Kubang Pasu, tidak jauh dari sini.

Nama Seri Banai diberikan sempena lokasi asal rumah ini dan pernah digunakan sebagai sekolah rakyat sebelum Sekolah Kebangsaan Seri Banai dibina di kawasan asal rumah itu sehingga kini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda