Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Kolaborasi JAPEN Sarawak dan Nadi Sihat Sempena Bulan Kebangsaan 2025

By 23 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Mohammad Abd Rahman (Sarawak)

KUCHING, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Nadi Sihat akan bekerjasama dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Ogos ini melalui program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025.

Rozilawati alu-alukan kerjasama Nadi Sihat sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025.

Menurut Setiausaha Nadi Sihat, Fahisha Irwan Mustapha, program tersebut dijadual bermula pada 4 Ogos di Simpang Mengayau, Kudat, Sabah dan berakhir di Teluk Melano, Lundu pada 18 Ogos, melibatkan 28 hentian (check point) sepanjang laluan sejauh 1,868.2 kilometer.

“Seramai 20 peserta pelbagai kaum dijangka menyertai jelajah ini yang akan diiringi oleh sembilan buah kenderaan. Program ini berpaksikan tiga teras utama, iaitu Agenda Perpaduan dan Integrasi Nasional, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), serta Semarak Bulan Kemerdekaan 2025,” jelas beliau ketika ditemui media di Bangunan Ibu Pejabat JAPEN Sarawak semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JAPEN Sarawak, Rozilawati Nor Aziz turut mengalu-alukan kerjasama ini sebagai usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Kita akan menyelaraskan pelaksanaan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada Ogos ini serta program-program lain berkaitan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta akan negara,” katanya.

Fahisha nyatakan hasrat jalinkan kerjasama bersama JAPEN Sarawak sempena Jelajah Kayuhan Sihat 2025.

Antara aktiviti utama sepanjang siri Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo adalah Larian Santai Sihat Malaysia di Putatan, Sabah; program Wellness on Wheels (WOW); Larian Move More (MoMo Run) sejauh 10 kilometer dan MoMo Walk sejauh 3 kilometer di Lawas; serta Larian Visit Malaysia di Bandar Seri Begawan, Brunei, sebelum penamat di Teluk Melano, Sarawak.

Antara agensi dan pihak yang turut terlibat dalam penganjuran ini termasuk Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Kedutaan Malaysia di Brunei, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, BeKind Malaysia dan Persatuan Berbasikal Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda