Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Komuniti Kubang Batu Angkat Semula Permainan Bidah Era 60-an

By 53 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosli Md Zin

PASIR MAS, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Ketika kebanyakan anak muda hari ini lebih cenderung meluangkan masa dengan gajet dan peranti moden, Komuniti MADANI Kubang Batu mengambil pendekatan berbeza dengan mengangkat permainan tradisional bidah atau lastik sebagai medium memupuk silaturahim dan mengimbau nostalgia masa lalu.

Salah seorang peserta dengan aksinya.

Menurut penganjur program yang juga Ketua Komuniti MADANI Kubang Batu, Hafizul Mokhtar, 36, permainan ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu usaha memelihara khazanah budaya yang sarat nilai sejarah.

“Dulu, lastik digunakan bukan hanya untuk bermain, tetapi juga bagi menghalau haiwan perosak atau memetik buah dari pokok yang sukar dipanjat.

“Kini, ia hampir lenyap dari pengetahuan generasi muda. Sebab itu kita mahu ia dihidupkan semula sebagai warisan masyarakat,” jelasnya.

Dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Pasir Mas melalui program JIWA@Komuniti Madani, Pertandingan Bidah Terbuka yang dianjurkan hari ini bertujuan memperkenalkan semula permainan ini kepada generasi muda serta menghidupkan kembali warisan yang semakin dilupakan.

Pertandingan yang berlangsung meriah itu menyaksikan hampir 300 peserta mendaftar, membuktikan sambutan hangat yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat.

Juara Pertandingan Bidah Mohammad Azhar.

Mohammad Azhar Mah Hassan, 27, diumumkan sebagai juara pertandingan selepas membidik dengan tepat dalam pusingan akhir.

“Saya tidak sangka akan menang sebab persaingan sangat sengit. Ramai peserta memang hebat. Tapi alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya hari ini,” katanya.

Kejayaan beliau membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM1,000, sementara pelbagai hadiah menarik termasuk 70 hamper disediakan untuk para peserta lain.

Program seumpama ini jelas memberi impak positif bukan sahaja dari segi warisan budaya, tetapi juga sebagai platform perpaduan dan penglibatan komuniti secara aktif.

-ZS-

Tinggalkan komen anda