Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Kre8tif! East 2025 – Jambatan Rentasi Sempadan Kreatif Negara

By 14 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan Foto oleh: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Kre8tif! East 2025 — edisi serantau pertama persidangan kreatif digital yang dianjurkan di luar Lembah Klang — menandakan langkah strategik dalam merapatkan jurang antara modal kreatif Malaysia merentasi geografi, pasaran dan budaya.

Wilson Ugak menyampaikan ucapan perasmian Program Kre8tif! East 2025: Empowering Tomorrow’s Creator, Today!

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, ketika merasmikan program Kre8tif! East 2025: Empowering Tomorrow’s Creator, Today!  hari ini berkata, Kementerian Digital komited dalam memperkasa sektor kandungan kreatif negara di seluruh pelusuk Malaysia termasuk Sarawak.

“Kami menyasarkan untuk memperkasakan pencipta kandungan, memperkukuh ekosistem industri serta meletakkan Malaysia sebagai kuasa kandungan digital,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut melabur dalam program berstruktur merangkumi latihan, bimbingan dan pemadanan industri bagi memastikan bakat tempatan dilengkapi kemahiran serta sokongan untuk berjaya.

Persidangan dan bengkel teknikal selama dua hari, yang berlangsung pada 14 hingga 15 Mei 2025 di Kuching, turut melibatkan penyertaan pelajar universiti dari seluruh Sarawak. Pendedahan ini bertujuan membantu pelajar mengikuti trend industri serta mengenal pasti alatan dan teknologi terkini agar pembangunan bakat bermula sejak awal.

Senny mencuba permainan di reruai CTRL D, studio indie hasil inisiatif pelajar Universiti Swinburne, Sarawak hari ini.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Animasi dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Nurul Nabihah Mohamad Shahhuri, 22, penyertaannya dalam program ini merupakan peluang amat berharga.

“Melalui persidangan dan bengkel teknikal, saya dapat memahami lebih mendalam tentang kandungan kreatif. Pameran industri yang menghimpunkan pempamer dari pelbagai peringkat rantaian nilai kreatif juga membantu kami mengenal pasti rangkaian yang sesuai untuk kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya ketika ditemui.

-RJ-

Tinggalkan komen anda