
Laporan/Foto: Daniel Jong (Kapit)
KAPIT, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digalakkan memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook untuk memperluaskan pasaran serta meningkatkan jualan produk komuniti, terutamanya di kawasan luar bandar.

Che Roslan menyampaikan ucapan perasmian Program Santuni MADANI di KRT Sungai Banyau.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Dato’ Che Roslan Che Daud berkata, penggunaan media sosial secara proaktif dan bijak mampu membantu komuniti memasarkan produk tanpa memerlukan kos yang tinggi.
“Saya menggalakkan semua ahli KRT untuk menggunakan media sosial secara aktif dan strategik, khususnya bagi tujuan memasarkan produk tempatan serta memperkenalkan hasil usaha komuniti luar bandar kepada pasaran yang lebih luas,” katanya ketika merasmikan Program Santuni MADANI dan Lawatan Kerja Rukun Tetangga (RT) Progresif di KRT Sungai Banyau, di sini pada Sabtu lepas.

Turut mencuba – Che Roslan mencuba proses membuat topi bermanik sebagai sokongan kepada produk tempatan kelmarin.
Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan dalam KRT adalah secara sukarela, namun memerlukan komitmen tinggi demi manfaat bersama komuniti setempat.
“Selain bantuan fizikal, kami juga menggalakkan penduduk memanfaatkan kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berhampiran untuk mengikuti latihan berkaitan pemasaran digital dan penggunaan teknologi media sosial,” tambah beliau.

Che Roslan meninjau sendiri hasil tangan kraftangan manik oleh penduduk tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, KRT Sungai Banyau telah menerima geran RT Progresif pada tahun lalu dan kini aktif melaksanakan pelbagai projek berfokuskan pembangunan ekonomi dan keselamatan komuniti.
Antara projek yang sedang dijalankan termasuk penghasilan kraftangan manik oleh Jiran Wanita KRT serta pembinaan sebuah kabin khas untuk Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berfungsi sebagai pusat operasi dan aktiviti rondaan malam di kawasan sekitar.
-RJ-