Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kuala Krai Off Road Challenge 2025 Gegar Laloh dengan Aksi Mendebarkan

By 31 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nik Aula Nik Soh

KUALA KRAI, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Dataran Hijau, Kampung Laloh bergema dengan deruman enjin dan sorakan penonton sempena Kuala Krai Off Road Challenge 2025, acara sulung yang berlangsung selama tiga hari berjaya mencuri tumpuan peminat sukan ekstrem dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Lancar Group Dr Wan Mastok Sharif, berkata buat julung kalinya pertandingan ini menghimpunkan pasukan-pasukan lasak dari Malaysia dan Thailand yang berentap dalam sembilan laluan khas (Special Stage – SS) penuh cabaran, merangkumi kawasan berbatu, berlumpur dan rentas sungai.

Antara salah satu rintangan yang perlu dilalui oleh kenderaan 4×4.

Setiap halangan menguji sepenuhnya ketahanan jentera serta kemahiran teknikal para pemandu.

“Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Kategori Group 4×4 dan Kategori Open Buggy. Dalam kategori Group 4×4, pasukan Dana Rindu berjaya merangkul gelaran juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Lancar Group dengan hadiah RM4,000, manakala pasukan Belantara pula meraih tempat ketiga dan menerima RM3,000.

Sementara itu, bagi kategori Open Buggy, pasukan Pattaya Club A dari Thailand muncul juara dan membawa pulang hadiah utama sebanyak RM8,000.

Pasukan Lancar Group pula mengekalkan prestasi cemerlang mereka apabila turut mendapat tempat kedua dalam kategori ini dengan ganjaran RM5,000, manakala tempat ketiga disandang oleh Pattaya Club B yang turut membawa pulang hadiah bernilai RM3,000.

Menurut seorang pengunjung tetap acara sukan ekstrem Mohd Sauti Shamsuddin, 45, program ini wajar dijadikan acara tahunan kerana sering mendapat sambutan hangat daripada penonton dan peserta.

Peminat 4×4 sedang melihat kehebatan pemandu melepasi rintangan.

“Pertandingan sebegini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal tetapi juga merancakkan ekonomi tempatan.

“Ia wajar dimasukkan dalam kalendar tahunan kerajaan negeri,” katanya.

Program ini dianjurkan oleh Lancar Group dan Kelab Barracuda Kuala Krai dengan sokongan kukuh daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti perniagaan tempatan.

Acara ini turut disokong oleh beberapa penaja utama termasuk Mat Rock Ayam Kunyit, Teguh Tawakkal, serta beberapa ahli perniagaan tempatan yang menyumbang dari segi logistik dan kewangan.

Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Kuala Krai Off Road Challenge kini berpotensi untuk berkembang sebagai antara acara off road paling berprestij di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda