
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Port Dickson)
PORT DICKSON, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus komited untuk memperkasa pemahaman kakitangannya terhadap komunikasi digital, media baharu serta etika penyampaian maklumat dalam era digitalisasi.
Objektif tersebut dapat direalisasikan menerusi Kursus Literasi Komunikasi Digital Siri 2 dengan mengaplikasikan dan menggabungkan kemahiran pemain industri dengan konteks komunikasi jabatan.
Kursus selama tiga hari yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei 2025 di Glory Beach Resort ini merupakan medan strategik bagi memantapkan kemahiran komunikasi selaras dengan keperluan dan cabaran semasa.

Muhammad Syafiq, berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai strategi komunikasi digital semasa sesi taklimat kursus.
Menurut Pereka Grafik dari Sifoodotcom yang juga penceramah kursus, Muhammad Syafiq Azman, kursus ini penting dalam membentuk kefahaman mendalam mengenai komunikasi digital yang berkesan.
Menurut Pereka grafik Sifoodotcom dan penceramah kursus, Muhammad Syafiq Azman, kursus ini merupakan platform penting untuk mempertingkatkan kemahiran komunikasi digital yang relevan dengan cabaran semasa.
“Dalam dunia digital hari ini, kefahaman yang mendalam tentang komunikasi berkesan dan penggunaan media sosial secara strategik adalah kunci utama untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan berimpak.
Literasi digital bukan sekadar tahu guna teknologi, tapi bagaimana kita manfaatkannya untuk menyampaikan mesej yang berkesan, beretika dan membina komuniti digital yang positif,” katanya semasa mengendalikan Kursus Literasi Komunikasi Digital Siri 2 di Glory Beach Resort di sini pada Ahad.
Salah seorang peserta, Mohammad Syafiq Mohammad Saleh dari Jabatan Penerangan Selangor, menyifatkan kursus ini sebagai sangat relevan dan bermanfaat.
“Sebagai petugas media lapangan, saya perlu peka dengan teknik komunikasi terkini. Kursus ini bukan sahaja menyediakan input teori, malah turut memberi latihan praktikal yang sangat berguna.
Ia membuka mata saya tentang pentingnya komunikasi digital strategik dalam membina kepercayaan serta pengaruh di dunia maya,” ujarnya.

Peserta sedang menjalani latihan amali berkaitan penghasilan kandungan digital untuk media sosial.
Pelbagai slot pengisian seperti ceramah, bengkel interaktif dan latihan lapangan telah dikendalikan oleh barisan penceramah profesional merangkumi topik seperti pencipta kandungan, analisis kandungan digital, komunikasi berkesan serta penghasilan berita dan visual untuk media sosial.
Peserta turut didedahkan dengan simulasi penyampaian maklumat melalui platform seperti TikTok dan Instagram Reels, serta menjalani sesi penilaian terhadap bahan yang dihasilkan.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia JAPEN, Nurul Azni Yahya.
-RJ-