
Laporan/foto: Mohamad Faizzad Kamal/Hanizatul Azwa (Batang Padang)
TAPAH, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Kursus separuh hari berkaitan penyembelihan ternakan bagi ibadah korban yang diadakan di Masjid Sultan Nazrin Mu’izzuddin Shah, di sini semalam telah berjaya menarik penyertaan lebih 50 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Peserta diajar cara untuk menjinakkan haiwan ternakan sebelum proses penyembelihan.
Menurut Pegawai Tadbir Agama Islam Batang Padang Ustaz Rozaini Ibrahim, ilmu penyembelihan yang sah mengikut syarak amat penting dalam memastikan daging haiwan yang disembelih halal dimakan serta memenuhi tuntutan agama Islam kerana haiwan merupakan sumber makanan utama dalam kehidupan seharian.
“Penyembelihan perlu dilakukan berdasarkan ilmu agar ia memenuhi syarat sah menurut syarak.
“Terdapat pelbagai aspek yang perlu difahami seperti fatwa berkaitan sembelihan, perspektif sains serta kaedah tradisional yang digunakan,” jelasnya.
Ustaz Rozaini turut menegaskan bahawa makanan yang halal dan baik memberi kesan langsung kepada kehidupan seseorang Muslim kerana ia menjadi darah daging.
“Jadi umat Islam perlu prihatin dan berpegang kepada hukum agama dalam urusan penyembelihan,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal memberi penerangan berkaitan demonstrasi penyembelihan ternakan korban.
“Program ini memberi penekanan terhadap asas penyembelihan mengikut hukum syarak, kaedah pengendalian ternakan korban yang beretika serta demonstrasi praktikal bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta.
Seorang peserta Zamri Abu, menyifatkan kursus ini amat bermanfaat dan menambah kefahaman beliau dalam melaksanakan ibadah korban yang semakin hampir.
“Dengan ilmu yang diperoleh, saya yakin dapat mempraktikkannya semasa ibadah korban nanti dan berkongsi ilmu ini bersama jemaah lain,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak Dr. Shaifullizam Abd. Kadir yang menyokong usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kaedah penyembelihan yang betul serta kebajikan haiwan ternakan.
-ZS-