
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/UMS
LABUAN, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 30 orang pelajar daripada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai satu lawatan industri ke Maybank International Labuan bagi mendalami mengenai kerjaya dalam sektor kewangan antarabangsa.

Nor Rashidi sedang memberi taklimat khas kepada para pelajar FKAL.
Menurut Pensyarah Kanan FKAL Dr. Jaludin Janteng, lawatan tersebut memberikan pendedahan langsung kepada para pelajar tentang operasi sebenar perbankan antarabangsa dan luar pesisir sejajar dengan usaha fakulti dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan industri.
“Lawatan ini membuka ruang kepada pelajar untuk membina jaringan profesional, memahami amalan kerja industri serta mengenal pasti potensi kerjaya dalam bidang perbankan antarabangsa.
“Ini adalah selaras dengan keperluan membina graduan holistik dan bersedia untuk cabaran global,” ujarnya ketika ditemui media pada lawatan itu, di sini semalam.

Antara pelajar FKAL yang mengikuti lawatan industri ke Maybank International Labuan.
Tambahnya, para pelajar telah diberi taklimat khas yang disampaikan oleh Pengurus Besar Maybank International Labuan Nor Rashidi Mohammad bersama beberapa orang pegawai kanan bank bagi berkongsi pengetahuan tentang struktur operasi perbankan luar pesisir, pengurusan pelanggan korporat antarabangsa serta cabaran dan peluang dalam industri kewangan global.
“Lawatan ini diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif dan para pelajar turut diberi peluang melawat sekitar premis pejabat dan melihat suasana kerja sebenar dalam institusi kewangan bertaraf antarabangsa,” katanya.
-ZS-