
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 28 Mei (MalaysiaAktif) ā Bermula dengan minat berniaga, sepasang suami isteri Abdul Muiz Abd Halim, 32, dan Nor Atiqah Abd Hamid, 32, berjaya membuka sebuah pusat pengumpulan produk tempatan yang dikenali dengan nama Kerepek Premium Outlet (KPO) bertempat di 1A, Lot 1588, Jalan Kampung Majapahit di sini.

Antara produk tempatan yang dipasarkanĀ diĀ KPO
Pasangan ini yang berpegang teguh kepada prinsip untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung, mula merintis perniagaan ini sejak November 2024 dan semakin berkembang maju menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Pengusaha dan pemilik KPO, Abd Muiz ketika ditemui semalam berkata di KPO, mereka mengumpulkan pelbagai jenis produk tempatan, terutamanya kuih-kuih tradisional yang dihasilkan oleh penduduk kampung di sekitar kawasan Kampung Majapahit dan Taman Aman seperti kuih batang buruk, kuih sepit, maruku, popia, kerepek sira, serta kuih moden yang semakin mendapat permintaan.

KPO turut menyediakan perkhidmatan produk cenderahati sesuai dengan pelbagai jenis majlis
“Idea untuk membuka pusat pengumpulan produk tempatan ini timbul apabila saya menyedari bahawa orang kampung mempunyai kemahiran untuk membuat pelbagai jenis kuih tradisional, namun produk yang dihasilkan ini tidak dapat menembusi pasaran yang lebih luas.
“Maka, kami berazam untuk membantu memasarkan produk mereka bukan sahaja di kawasan sekitar daerah Pendang malah seluruh Malaysia secara atas talian melalui platform TikTok dan Shopee,” ujarnya.
Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, Nor Atiqah berkata mereka mula menjual secara atas talian adalah bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang berada luar dari daerah Pendang dan negeri Kedah terutamanya semasa musim perayaan kerana platform ini mudah diakses oleh orang ramai.
“Alhamdulillah, perniagaan yang awalnya bermula dengan niat untuk membantu penduduk kampung kini semakin berkembang dengan baik, dan kami berharap dapat membuka lebih banyak pusat pengumpulan di kawasan lain bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengusaha tempatan untuk memasarkan produk mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Usia bukan penghalang dan dengan keazaman serta semangat untuk membantu orang lain, pasangan muda ini telah membuktikan bahawa minat terhadap sesuatu yang tradisional dapat ditransformasikan menjadi satu kerjaya yang tidak hanya menguntungkan, tetapi juga memberi manfaat kepada komunitiĀ setempat.
-AA-