
Laporan/foto: Zayana Isa/Wan Hazlan (Pahang)
MARAN, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Minat yang mendalam terhadap dunia masakan terutama makanan tradisional telah mendorong seorang pencipta kandungan Rosyimah Mat Omar, 60, berkongsikan pelbagai resepi makanan tradisional negeri Pahang di platform media sosial.

Kuih tiga beradik merupakan gabungan tiga jenis kuih iaitu badak berendam, pena dan dodol kukus.
Mesra dipanggil Mok Cik (makcik) di laman media sosial TikTok, Rosyimah, memberitahu beliau amat gemar membuat kuih tradisional yang diberi nama kuih tiga beradik.
“Memang Mok Cik minat buat kuih ni dan selalu membantu mak dari (sejak) kecil lagi terutama di bulan puasa, jadi Mok Cik akan buat kuih ni dan berkongsi dengan rakan-rakan di TikTok,” katanya, di sini kelmarin.
Ujarnya lagi, apabila beliau berkongsikan resepi kuih tiga beradik ini semasa bersiaran secara langsung di TikTok, beliau tidak menyangka ramai yang menyukainya.

Resepi kuih tiga beradik sebenarnya mudah kerana menggunakan bahan yang lebih kurang sama sahaja.
“Tak sangka ramai yang berminat dan ingin belajar membuat kuih ini kerana resepi kuih ini sebenarnya mudah sahaja,” katanya.
Sejak tahun lepas, Mok Cik bersiaran secara langsung dan berkongsikan pelbagai lagi resepi masakan tradisional negeri Pahang ditambah pula dengan suasana persekitaran beliau yang berada di kebun membuat ramai yang tertarik.
“Ada yang ingin datang ke kebun Mok Cik ni untuk belajar dan sejak kuih ni tular di media sosial, ada yang sanggup datang dari jauh untuk mencari kuih ini yang dijual di Pekan Sehari Temerloh dan Pekan Sehari Chenor,” katanya.
-ZS-