
Laporan/foto: Ainsyah Hamid
BAYAN LEPAS, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 40 Ketua Komuniti MADANI dari seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, menyertai Program Mini Akademi ASAS Penerangan peringkat negeri yang berlangsung di Lexis Suites Penang, di sini kelmarin.

40 orang Ketua Komuniti MADANI dari seluruh DUN negeri Pulau Pinang hadir ke Mini Akademi ASAS.
Antara pengisian utama program ini termasuklah Teknik dan Latihan Syarahan Umum yang berstategik serta klinik suntingan video menggunakan peranti mudah alih.
Kedua-dua modul ini dirangka khusus untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan kecekapan peserta dalam menghasilkan kandungan kreatif, berimpak tinggi serta relevan dengan corak penyampaian maklumat di era digital masa kini.
Peserta program yang juga Ketua Komuniti MADANI Bayan Lepas Suhaily Suaib, 42, menyifatkan penyertaannya dalam bengkel ini sebagai satu pengalaman yang amat bermanfaat.
“Saya sangat teruja kerana diberi peluang mendalami pelbagai aspek seperti penulisan skrip video ringkas, penggunaan aplikasi suntingan, teknik rakaman serta eksplorasi TikTok sebagai medium promosi produk dan perkhidmatan komuniti,” katanya.

Hasmiza (berdiri kiri) menyantuni Komuniti MADANI dari Daerah Barat Daya.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pulau Pinang itu bertujuan memperkasa dan meningkat peranan Komuniti MADANI selaku Key Opinion Leader (Pemimpin Pendapat Utama) iaitu individu berpengaruh di peringkat akar umbi yang berfungsi sebagai penghubung maklumat sahih dan berwibawa daripada kerajaan kepada masyarakat setempat.
Menurut Pengarah JAPEN Pulau Pinang Hasmiza Hussin, program ini dirangka untuk membina keupayaan komuniti agar lebih proaktif dalam menyebarluaskan agenda kerajaan melalui pendekatan kreatif dan bersesuaian dengan selera generasi muda masa kini.
“Dengan kemahiran yang diasah melalui program ini, Komuniti MADANI bukan sahaja mampu menyampaikan mesej kerajaan secara berkesan malah berupaya mencipta kandungan digital yang menarik dan mudah difahami,” katanya.
-ZS-