Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Minyak Kodek – Warisan Tradisional Unik Kampung Seduku, Sri Aman

By 3 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Selain dikenali sebagai pakar pertukangan simen, Ayu Kias, 57, turut memainkan peranan penting sebagai pengamal perubatan tradisional melalui penggunaan Minyak Kodek, sejenis ramuan unik warisan keluarganya yang berusia lebih 60 tahun.

Pelanggan setia mendapatkan bekalan Minyak Kodek terus daripada Ayu selepas sesi rawatan.

Minyak Kodek, yang diperbuat daripada minyak kelapa dan zakar buaya, telah digunakan sejak zaman moyangnya, Abang Sep, sebagai rawatan alternatif bagi pelbagai jenis penyakit seperti sengal badan, mabuk perjalanan, sakit sendi dan lain-lain.

“Isteri saya sendiri hamil anak keempat pada usia 48 tahun selepas 15 tahun tidak dikurniakan zuriat. Saya amalkan urutan dan sapuan Minyak Kodek, Alhamdulillah ia banyak membantu,” kata Ayu sambil menunjukkan botol kecil berwarna keemasan yang mengandungi minyak tersebut ketika ditemui semalam.

Minyak ini dinamakan bersempena kehadiran seekor buaya yang sering muncul di Jeti Kampung Seduku dan dipercayai membawa simbol kekuatan serta keberkatan kepada penduduk kampung.

Label rasmi Minyak Kodek hasil tangan Ayu, mengekalkan elemen tradisional dan identiti warisan keluarga.

Menurut Ayu, pelanggan dari luar daerah juga datang secara berkala untuk mendapatkan rawatan tradisional ini. Sebagai Ketua Kampung, beliau merasakan tanggungjawabnya bukan hanya terhad kepada pentadbiran semata-mata, tetapi juga meliputi usaha memelihara warisan budaya agar terus lestari.

“Kalau tiada pelapis, nanti semua ini hanya tinggal sejarah. Saya harap anak-anak kampung ambil tahu, belajar dan teruskan,” ujarnya penuh harapan.

Beliau turut menyeru agar pihak berkuasa memberi pengiktirafan terhadap amalan tradisional seperti ini serta memberikan bantuan kepada usahawan kecil yang mempertahankan identiti kampung dan nilai-nilai warisan nenek moyang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda